Thursday, 25 June 2020

Tunai Janji Kembalikan Tanah RTB

SHARE


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 Jun- Kerajaan negeri bersungguh menunaikan janji manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila mengembalikan tanah peserta 'terkilan' Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Pegawai Penyelidik, Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani berkata, selepas berjaya mengambil alih kerajaan pada 2018 kerja-kerja mengenal pasti peserta yang tersisih sebelum ini segera dilakukan.

"Kita tidak berlepas tangan dengan bekerja keras menyelesaikan masalah mereka yang tersisih akibat bertukar kerajaan, kita gantikan yang baharu, walaupun bukan tanah di tempat asal tetapi mereka dapat hak mereka," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan Jadual 5A Bagi Tanah Rancangan Berkelompok Tapak Rumah Dan Tanah Pertanian, DUN Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini.

Seramai 119 orang penerima termasuk mereka yang membuat permohonan baharu telah menerima hak masing-masing pada majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu.

Turut hadir, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.

Sementara itu, Alias berharap penerima memanfaatkan sebaiknya tanah yang diberikan.

"Kita tidak mahu ianya menjadi tanah terbiar atau dijual kepada orang lain," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: