Monday, 22 June 2020

Tiga Mahkamah Di Terengganu Bakal Ditambah Baik

SHARE


Takiyuddin ketika ditemui pemberita.

Oleh : Izzat Al-Qushairi/Hidayah Azlin

SETIU, 22 Jun - Sekurang-kurangnya tiga Mahkamah Majistret di negeri ini telah dikenal pasti untuk proses penambahbaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebahagian daripada bangunan terbabit sudah pun dalam proses berkenaan dan ia termasuk mahkamah di Setiu yang beroperasi sejak 32 tahun lalu.

Katanya, kos pembinaan Mahkamah Majistret Setiu yang baharu itu dijangka berjumlah RM15 juta dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

“Di Terengganu ini, kita jangkakan di Setiu akan dibina sebuah bangunan Mahkamah Majistret baharu.

“Kemudian mahkamah di Marang dan Kemaman yang mempunyai bilangan kes yang tinggi kerana bandar besar, kedua-duanya akan ditambah baik,” katanya selepas lawatan kerja ke Mahkamah Majistret Setiu di sini hari ini

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari Abd Rahman.


Katanya, walaupun mahkamah tidak melibatkan ramai orang tetapi langkah tersebut wajar diambil bagi memudahkan mereka yang berurusan dengan institusi berkenaan.

“Satu, keselesaan kepada pentadbiran mahkamah itu sendiri. Kedua, keselesaan kepada petugas-petugas seperti pihak polis, pendakwa raya, pihak jabatan-jabatan dan yang ketiga paling penting adalah keselesaan kepada orang awam.

“Berdasarkan keputusan perbincangan, mahkamah ini akan ada jangka pendek dan jangka panjang. Jangka pendek akan cari bangunan yang baru manakala jangka panjang apabila segala urusan tanah sehingga ke peringkat pusat selesai,” tambah beliau.

Difahamkan sebanyak 82 bangunan mahkamah di seluruh negara termasuk Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret dijangka akan menjalani proses penambahbaikan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: