Sunday, 21 June 2020

Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan

SHARE



KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Terengganu memperkenalkan tiga fasa pelan rangsangan bagi memperkasa kembali industri pelancongan di negeri tersebut susulan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sebagai nilai tambah kepada sektor berkenaan dengan sasaran pelancong domestik.

Katanya, menerusi fasa pertama yang lebih kepada menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan Terengganu, pihaknya giat mempromosikan pelancongan secara atas talian terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Kita juga memberikan sumbangan kit penjagaan diri yang mengandungi pelitup muka, ‘hand sanitizer’, sarung tangan getah dan beberapa peralatan lain kepada kakitangan barisan hadapan dan pengamal media pada waktu PKP lalu,” ujarnnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dengan tajuk Mendepani COVID-19 : Pemerkasaan Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah, hari ini.

Ariffin berkata, menerusi pakej fasa kedua, bantuan ‘one off’ kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu pelancong dan malim gunung yang layak merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk melestarikan pelancongan Terengganu.

“Sementara, fasa ketiga pula lebih kepada usaha memacu pertumbuhan sektor pelancongan Negeri Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke negeri itu semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan PKPP yang membenarkan pergerakan rentas negeri.

Katanya, Terengganu merupakan antara negeri terawal dikategorikan sebagai zon hijau dan selamat untuk dikunjungi.

“Saya sarankan kepada seluruh rakyat Malaysia, pilihlah Terengganu sebagai destinasi utama untuk percutian anda kerana terlalu banyak keindahan di negeri ini termasuk, pulau, pantai, taman-taman semula jadi yang menjanjikan keseronokan,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: