Thursday, 4 June 2020

"Tepoh Cakna" Aplikasi Penghubung Suara Rakyat Tepoh

SHARE


Oleh : Mohd Zukifli Mat

KUALA  NERUS, 4 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh buat julung kalinya memperkenalkan sebuah aplikasi pengguna iaitu 'Tepoh Cakna' bertujuan untuk memudahkan penduduk sekitar kawasan berkenaan membuat aduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, melalui aplikasi itu ia akan membantu rakyat untuk mengadu pelbagai masalah berkaitan jalan rosak, sistem perparitan, longkang dan seumpamanya.

"Sistem ini tidak bererti menutup terus kaedah manual melalui perantaraan dan pejabat PKM. Ia akan bergerak seiring malah akan berlaku pemusatan aduan dan tindakan.

"Kami juga mengalu-alukan aduan bersifat kesusahan yang dialami kejiranan komuniti untuk pihak kami segerakan siasatan," katanya ketika ditemui pihak media selepas pelancaran aplikasi berkenaan hari ini.

Aplikasi itu telah dilancarkan secara langsung di laman media sosial facebook  jam ADUN Tepoh tersebut pada 3 petang.

Dengan memperkenalkan aplikasi berkenaan katanya, ia memberi lebih banyak kaedah untuk orang ramai berurusan dengan wakil kerajaan.

"Aplikasi ini akan menjadi satu pakej tambahan untuk mempermudahkan urusan aduan rakyat.

"Kaunter aduan rakyat di PKM dibuka sepertimana biasa dan aduan terus melalui pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga berlangsung seperti biasa,"ujarnya lagi.

Tambah Hishamuddin, pengadu boleh melihat status perkembangan setiap aduan sama ada ia sudah diselesaikan atau sedang diambil tindakan.

"Buat masa ini, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store sahaja. Insya-Allah, proses permohonan untuk pengguna IOS telah dipanjangkan," katanya.

Justeru itu, beliau berharap  kewujudan aplikasi ini membuahkan hasil yang lebih baik buat seluruh rakyat di dalam kawasan ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: