Thursday, 4 June 2020

Tanah Terbiar Dipulihkan Jadi Kawasan Produktif

SHARE

Dr Azman.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 4 Jun – Kerajaan negeri sedang giat menjalankan operasi pemulihan tanah terbiar bagi menjadikan kawasan berkenaan lebih produktif.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pasukan ‘Task Force’ yang ditubuhkan sejak Mei lalu telah mengenalpasti 8,000 hektar tanah untuk dimajukan.

“Fokus kami dalam ‘Task Force’ Pemulihan Tanah Terbiar Negeri Terengganu bukanlah bermatlamatkan untuk penguatkuasaan undang-undang dan rampasan tanah.

“Kami mahu kumpulkan data, kenal pasti segala faktor-faktor berkaitan seperti isu pemilikan tanah, kekurangan infrastruktur, ketiadaan dana, kesesuaian tanaman, faktor-faktor komersial dan sebagainya.

“Seterusnya, langkah menggerakkan tindakan bersepadu akan diambil bagi memajukannya semula agar ia menjadi tanah yang produktif,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tindakan itu merupakan salah satu daripada teras tindakan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian Penggal Ketiga Dewan Undangan Terengganu Ke-14 baru-baru ini telah bertitah agar kerajaan negeri mengambil satu tindakan bagi memulihkan tanah-tanah terbiar ini,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, ‘Task Force’ Tanah Terbiar di setiap daerah sedang mengambil tindakan masing-masing sebelum semua laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa ‘Task Force’ Tanah Terbiar Negeri.

“Kita  juga tidak mahu buang masa untuk bertelingkah dan mengundang kemarahan rakyat dengan tindakan atau dakwaaan rampasan tanah di sana-sini.

“Tanah terbiar ini bemaksud tanah milik individu atau syarikat, berkeluasan lebih satu ekar dan tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Untuk makluman, tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar,” jelasnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: