Sunday, 7 June 2020

Sumbangan Kipas Angin Untuk Keselesaan Pesakit Klinik Desa Padang Jambu

SHARE


Oleh : Mohd Rizauddin

DUNGUN, 7 Jun- Pesakit yang mendapat rawatan di Klinik Desa Padang Jambu terutamanya ibu mengandung serta kanak-kanak bakal menikmati perkhidmatan kesihatan lebih selesa apabila klinik terbabit menerima bantuan kipas angin daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, hari ini.

Bantuan berkenaan diserahkan oleh Wan Hassan kepada wakil jururawat Klinik Desa Padang Jambu, Marsitah Manaf dalam satu majlis ringkas di klinik tersebut.

Menurut Wan Hassan, pihaknya bersetuju untuk menyumbangkan sejumlah unit kipas angin selepas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Jambu menyuarakan tentang hal ini kepadanya.

Malah, beliau juga bercadang untuk terus menghulurkan sumbangan berbentuk peralatan yang diperlukan kepada klinik-klinik desa yang terdapat di Parlimen Dungun mengikut kemampuan sebagai salah satu khidmat sosial pada masa akan datang.

Sementara itu, Marsitah berkata sumbangan kipas angin yang diterima oleh pihaknya diharap dapat meningkatkan keselesaan kepada seluruh warga klinik nanti.

"Kami warga klinik ini amat berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat di atas sumbangan ini sejurus mendapati pesakit di sini menerima khidmat rawatan dalam keadaan kurang selesa.

"Saya harap sifat 'ambil cakna' atau tanggungjawab yang ditunjukkan seorang pemimpin dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan setiap pesakit yang datang ke klinik dapat menerima rawatan yang selesa serta lebih efisien," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: