Friday, 19 June 2020

Sumbangan Katil Khas legakan Tun Faridah

SHARE


Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 19 Jun - Kerisauan seorang isteri memikirkan keperluan katil khas untuk suaminya yang terlantar koma berakhir apabila Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menyumbangkan keperluan itu, semalam.

Tun Faridah Tun Abdullah, 36, berkata, suaminya Mohd Nazri Wahab, 37, terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak empat bulan lalu dan menyebabkan dia tidak dapat bergerak seperti biasa.

“Pada pagi kejadian dia keluar pergi ke kebun seperti biasa sebelum orang kampung menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan dengan berlumuran darah pada jam 8 malam.

“Saya pada waktu tersebut baru sampai ke tempat kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah  ( HSNZKT ) mendapat panggilan dari adik ipar mengatakan suami saya dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu akibat kemalangan.

“Dalam tempoh dua bulan ni memang saya fikir bagaimana nak uruskannya selepas disyorkan oleh doktor untuk dibawa suami saya pulang ke rumah tanpa kemudahan katil khas sebab dia koma. Syukur dan terima kasih kepada ADUN Ajil atas sumbangan ini,” katanya ditemui ketika penyerahan sumbangan tersebut di Kampung Betong, di sini, hari ini.

Tun Faridah yang bekerja sebagai Jururawat mempunyai empat anak dan pendapatan keluarga hanya bergantung kepadanya yang terpaksa mengambil cuti separuh gaji, selepas suami mengalami kemalangan.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Ajil, Ahmad Furqan Ismail, berkata dua hari lepas, Ustaz Maliaman sendiri turun padang menziarahi Mohd Nazri dan hari ini beliau mewakili ADUN Ajil itu untuk menyerahkan sumbangan berkenaan.

Ujarnya, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil sentiasa prihatin dalam memastikan kebajikan masyarakat yang memerlukan terjaga.

“Kami akan meneliti keperluan untuk bantuan susulan keluarga ini dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Tambah beliau, semoga sumbangan hari ini akan mengembirakan mereka sekeluarga dan pihaknya terus komited untuk terus membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: