Friday, 12 June 2020

Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP

SHARE
Orang ramai disusun dengan jarak 1 meter.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 12 Jun – Hampir kesemua jemaah yang hadir solat jumaat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah kawalan ketat yang dijalankan sebagaimana  ketetapan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak.

"Hampir 100 peratus daripada SOP yang ditetapkan berjaya dipatuhi di sini. Seramai 80 orang yang hadir mendaftarkan nama, diambil suhu badan masing-masing.

"Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertungkus lumus sejak daripada semalam lagi menyusun kedudukan para jemaah mengikut jarak yang telah ditentukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Bukit Tanah, Jabi di sini hari ini.

Dr Azman (tengah).

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, seawal 12.30 tengah hari para jemaah mula berpusu-pusu memenuhi ruangan masjid.

Tambahan pula, pintu masjid ditutup tiga minit sebelum masuk waktu, iaitu pada jam 1.09 petang.

"Khatib juga mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyampaikan khutbah ringkas.

"Solat juga dilakukan dengan ringkas, bacaan ayat-ayat pendek serta tiada jemaah yang menunaikan solat sunat rawatib.

"Alhamdulillah semua bersurai dengan tertib. Insya-Allah Jumaat minggu hadapan, saya yakin suasana akan menjadi lebih baik dan kita boleh meneruskan solat sebagaimana biasa," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: