Sunday, 28 June 2020

Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan

SHARE
Hanafiah (kiri) menyerahkan sebuah 'Ipad Air' dan wang tunai kepada Shafiq (kanan) atas kecemerlangan dalam SPM 2019.
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 28 Jun - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Mohamad Shafiq Akram Shafie, 18, diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM & STPM 2019 DUN Cukai, semalam.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu.

Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Cukai yang telah menganjurkan program yang cukup bermakna baginya itu.

"Satu nasihat yang ingin saya kongsikan. Ketika hati anda berada di tempat yang betul, tidak ada yang dapat menghalang anda. Itulah kata-kata yang saya ingat daripada seseorang ketika menyertai salah satu kem sebelum ini.


"Kata-kata tersebut telah menjadi pembakar semangat saya agar terus berusaha mencapai impian," ujarnya.

Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru, rakan-rakan dan semua pihak yang telah membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut.

Beliau yang bercita-cita menjadi ahli farmasi telah menerima hadiah berbentuk sebuah 'Ipad Air' dan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Cukai, Hanafiah Mat.

Seramai 32 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 157 orang pelajar SPM diraikan dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mercu, Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, di sini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: