Monday, 8 June 2020

RM5.4 Juta Untuk Sekolah Agama Rakyat, Pondok Dan Tahfiz Di Terengganu

SHARE


KUALA TERENGGANU,  8 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.4 juta bagi membantu sekolah pondok dan tahfiz yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata bantuan geran tahunan diagih lebih awal bagi meringankan beban mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, peruntukan itu akan merangsang pihak terbabit untuk terus melaksanakan proses pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sehingga ia berakhir.

"Sehingga kini, terdapat 140 institusi pondok, tahfiz, sekolah-sekolah agama rakyat di Terengganu .

"Jadi kita serahkan peruntukan lebih awal untuk pihak mereka gunakan dengan cara  terbaik mengikut kesesuaian Ahli Lembaga Pengarah (ALP) masing-masing," katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi  Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ijazah Pertama.

"Oleh kerana masalah COVID-19, majlis untuk meraikan mereka yang cemerlang tidak dapat dilaksanakan tetapi kita tetap beri hadiah ini secara 'bank in' duit ini ke akaun masing-masing bermula bulan ini," ujarnya.

Bagi pelajar Terengganu yang berada masih di luar negara, kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM400 ribu untuk bantuan COVID-19.

"Mereka ini yang masih berada di luar negara seperti Jordan, Turki, Mesir dan sebagainya menerima 100 dollar setiap seorang bagi meringankan beban  menjalani kehidupan mereka di sana," ujar beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: