Sunday, 7 June 2020

‘Projek Kongsi Rezeki’ Sasar 400 keluarga

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 7 Jun-‘Projek Kongsi Rezeki’ menyasarkan 400 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ibu tunggal untuk diagihkan bantuan berupa barangan dapur, secara berperingkat.

Koordinator Negeri Kindness Malaysia (Team Terengganu), Nur Syazwani Halim berkata, projek amal tersebut adalah hasil kerjasama Kindness Malaysia (Team Terengganu) dan Biro Pembangunan Pelajar Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu.

“Kita juga bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid terlibat iaitu Masjid Kampung Tepus, Balai Besar, Seberang Pintasan dan Kampung Baru untuk pemilihan penerima yang layak.

“Sementara itu, kita turut mendapat sumbangan daripada individu yang mahu identitinya dirahsiakan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya sebagai permulaan seramai 100 keluarga terpilih dari sekitar Bukit Besi telah menerima bantuan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Kampung Tepus, semalam.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta ahli jawatankuasa masjid tersebut yang membantu mengenalpasti keluarga-keluaga yang memerlukan bantuan.

“Selain bertungkus lumus memastikan agihan dapat dibuat secara lancar dan teratur. Diharap bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban semua penerima, terutamanya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Dalam pada itu, Ghazali turut merakamkan ucapan terima kasih diatas bantuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan yang tampil membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: