Monday, 1 June 2020

PKPB : Keputusan Operasi Taska Di Terengganu Diketahui Rabu ini

SHARE


KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Keputusan berhubung kebenaran operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta di Terengganu semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diketahui pada Rabu ini selepas mendapat persetujuan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (AAMKN).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Persediaan Operasi Taska bersama pihak berkepentingan mengenai perkara itu pada hari esok.

Katanya, antara pihak yang dijangka hadir ialah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Segala keputusan termasuk berkaitan peraturan, tarikh, bilangan taska yang akan beroperasi, jumlah anak asuhan yang diterima dan sebagainya akan dibawa ke mesyuarat mingguan AAMKN pada Rabu ini.

“Apa yang penting segalanya akan berpandukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN),”katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.

Hanafiah turut memberitahu kerajaan sedar ramai ibu bapa terutama yang bertugas sebagai barisan hadapan mula bekerja tanpa jadual giliran dan berdepan kesukaran mencari pengasuh.

“Bagaimanapun mereka juga perlu sedar di mana kerajaan perlu mengambil kira tanggungjawab dan pelbagai perkara penting sebelum membenarkan taska beroperasi,” katanya.

Justeru itu, beliau memohon agar semua pihak bersabar dalam sedikit masa lagi.

“Apa-apa pun saya meminta para pengusaha Taska merujuk kepada yang berwajib sebelum membuka Taska.

“Saya bimbang jika ada pihak yang ingkar arahan dengan tetap mahu meneruskan operasi tanpa kebenaran tindakan tegas akan diambil, saya tidak mahu ada pihak yang terkesan,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: