Tuesday, 23 June 2020

Pinjaman Jaya Diri Terengganu Bantu Keluarga Pendapatan Rendah Berniaga

SHARE
Hanafiah Mat.
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Seramai 96 orang peserta aktif memulakan perniagaan selepas menyertai Program Jaya Diri (PJD) yang membabitkan pinjaman bernilai RM811,000 melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bermula awal tahun ini sehingga Mei 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, berlaku pengurangan mendadak jumlah pinjaman dan bilangan penerima berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Katanya, dijangkakan permohonan akan terus meningkat dengan beberapa kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

"PJD merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui YPKT yang bertujuan untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan kurang berkemampuan memulakan perniagaan selain melatih kemahiran asas pengurusan diri untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga peserta.

"Mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan keluarga, belia dan ibu tunggal. Di Terengganu sahaja, kita mempunyai seramai kira-kira 36,000 ibu tunggal dengan usia paling muda adalah 18 tahun.

"Penyertaan peserta disasarkan kepada golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia-beliawanis daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah atau mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM600.

"Melalui PJD, setiap peserta layak menerima pinjaman antara RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan seperti kedai makan, jahitan, kedai runcit, pertanian, penternakan dan salun kecantikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.

Dalam pada itu, Hanafiah turut memberitahu, selain mendapatkan bantuan modal, peserta turut didedahkan dengan program-program untuk meningkatkan kefahaman dan motivasi serta menambah pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang perniagaan yang diceburi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: