Monday, 29 June 2020

Penternak Sertai Demo Ibadah Korban Norma Baharu

SHARE


Peserta akan diberikan taklimat ringkas mengenai proses penyembelihan mengikut SOP yang telah disediakan

MARANG, 29 Jun – Sempena Hari raya Korban yang akan menjelang tidak lama lagi, pengusaha dan penternak lembu korban daerah Kuala Terengganu dan Marang berkolaborasi dengan beberapa agensi dan jabatan menjalankan demo berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi penyembelihan dan kawalan kandang peliharaan lembu korban.
                                                                                                                                
Wakil pengusaha dan penternak lembu korban, Mohd Zaki Mat Yakim berkata, langkah yang dibuat itu diharap dapat menjadi rujukan kepada pengusaha-pengusaha lain sebagai mengikuti SOP pihak berkuasa.

Katanya, sepanjang demo berkenaan, ia akan dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi melihat tatacara yang bakal dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha, seterusnya dijadikan panduan untuk tempat sembelihan yang lain.

"Kita sebagai pengusaha menjadikannya sebagai rujukan pertama untuk memastikan selepas ini pengusaha ternakan dapat mengikuti SOP pihak berkuasa, terutamanya dalam ibadat penyembelihan.

"Kita juga mendapat khidmat dan panduan daripada polis, yang mana pihak polis hanya memastikan SOP itu dipatuhi tetapi prosedurnya mesti dibincangkan di peringkat MKN, PDRM, JPV, JKNT dan Maidam kerana ibadat korban perlu mengikut syarak serta perlu mengikuti SOP yang ditetapkan MKN dengan pematuhan dipantau PDRM.

"Hasil daripada demo ini, pihak berkuasa akan menambah baik jika ada prosedur yang dirasakan perlu dan dipersetujui untuk digunapakai dan dikuatkuasakan," katanya ketika ditemui di pusat ternakan dan sembelihan Golden Faster di Kampung Tasek, Bukit Payong semalam.

Menurut beliau, antara SOP pertama yang perlu dipatuhi ialah mendaftar masuk dan mengambil suhu badan mereka yang menyertai ibadah korban serta mereka yang terlibat ditempatkan di tempat khas dalam kumpulan mengikut lembu korban yang ditetapkan.

Demo bagaimana sisa-sisa dari haiwan korban akan di nyahlupuskan dengan menanam di tempat yang disediakan
"Peserta kemudiannya akan menzahirkan niat dan menyaksikan sembelihan tersebut, diikuti kumpulan kedua dan seterusnya. Ini bermakna, mereka tidak akan berkumpul ramai.

"Selain itu, demo yang kita lakukan juga mengambil kira pelupusan tulang dan sebagainya, dengan dicuci dan dinyahlupuskan di tempat yang kami sediakan," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: