Monday, 1 June 2020

Peniaga Sambut Baik Kebenaran Makan Di Kedai

SHARE
Pelanggan yang hadir dikenakan SOP yang ketat.

KUALA NERUS, 1 Jun - Pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa semalam memberi kelegaan kepada ramai peniaga.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Nerus, Mustafa Ismail berkata, ramai peniaga makanan berdepan kesukaran menyara diri dan keluarga susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Kebenaran ini merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu, rasa lega sangat sebab perniagaan memang terjejas sebelum ini dan kami ada keluarga yang hendak diberi makan.

“Jadi apabila kerajaan benarkan pelanggan makan di kedai hari ini, pelanggan mula bertambah, saya sangat terharu dengan tindakan drastik yang diambil kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mustafa, 59, yang juga berniaga makanan berlauk di hadapan Pasar Batu Enam di sini mengakui masih teruja dengan kebenaran itu namun mengharapkan agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mustafa berkata, pelanggan mula bertambah ke kedainya.
“Kerajaan dah bagi kelonggaran, sekarang tugas kita untuk mematuhi apa yang ditetapkan supaya semua ini tidak ditarik balik, jika itu berlaku kita kembali susah seperti sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, menurut pelanggan di kedai itu, Ahmad Faizol Mohd Yusop, 34, berkata kebenaran makan di kedai mesti dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat terutama yang bekerja.

“Kalau sebelum ini ada juga yang beli bungkus sebab tak ada tempat nak makan, sampai ada yang terpaksa makan dalam kereta dan sebagainya.

“Jadi dengan arahan terbaharu ini, sudah tentu ia memudahkan kami untuk mencari makanan dan makan,” tambahnya.


Faizol.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: