Wednesday, 24 June 2020

Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir

SHARE




MARANG,  24 Jun - Gangguan bekalan air yang membelenggu kira-kira 300 penduduk di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, di sini bakal berakhir selepas Syarikat Air Terengganu (SATU) bersetuju membina tangki simpanan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya bersetuju membina tangki simpanan bernilai RM100,000 itu menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, kawasan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut sudah dikenalpasti dan proses pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya tiada sebarang masalah teknikal terutama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk di kawasan ini boleh mendapatkan bekalan air bersih sebelum Aidiladha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  Program bual bicara SATU bersama penduduk SPKA Wakaf Tapai di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Menurut Ir Atemin, apa yang dialami penduduk di kawasan itu terutama membabitkan 20 keluarga adalah disebabkan kawasan berbukit-bukit, selain tinggal di tempat yang tinggi.


“Paip utama yang sedia ada tidak dapat membekalkan air di kawasan itu lebih-lebih lagi ketika di waktu puncak.

“Pihak kami berharap penduduk terbabit  bersabar kerana pembinaan tangki simpanan air itu memerlukan penelitian, penggunaan alat ganti ditempah khas dan bukan boleh dibeli mana-mana kedai,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Marang antara daerah yang turut disenaraikan bakal menerima loji air bernilai RM500 juta bagi menampung keseluruhan penduduk.

“Daerah itu sebelum ini mendapatkan bekalan air dari loji air Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

“Pihak kami tidak dapat membina loji di Marang kerana pelbagai faktor antara sungai yang ada tidak dapat membekalkan air secukupnya, selain berdepan masalah kawasan berbukit,” katanya.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: