Monday, 22 June 2020

Pelepasan Benih Jalin Kelestarian Populasi Ikan Terengganu

SHARE
Helmi Harun (tengah) merasmikan program dengan melepaskan benih ikan ke dalam sungai.
BESUT, 22 Jun - Sebanyak 27,350 ekor benih ikan dilepaskan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) di Ampang Jajar, Hulu Besut hari ini bagi membantu meningkatkan populasi ikan air tawar di kawasan tersebut.

Jumlah benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada 230 ekor Kelah, 2,500 ekor Baung dan sebanyak 24,620 Lampam Sungai dengan kos bernilai kira-kira RM20,000.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Helmi Harun menyifatkan program tersebut merupakan salah satu langkah penting kepada kelestarian biodiversiti kawasan setempat.

Helmi dan Haslina (kanan) menerima poster berkaitan ikan air tawar daripada Rusman (kiri) sebagai cenderahati daripada JPNT.
“Program seumpama ini akan meningkatkan hasil dan suatu mata rantaian supaya populasi ikan tidak pupus yang mana kita juga tahu terdapat banyak ancaman kepada spesies ini daripada faktor semula jadi dan perbuatan manusia.

“Kita patut bersyukur dengan keadaan negeri kita yang baik persekitarannya. Kita harap, seluruh masyarakat menyedari kepentingan menjaga alam sekitar serta kepentingan menjaga ketulenan dan keaslian negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan benih ikan bersama JPNT dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNT, Rusman Rusdy, Jurutera Projek IADA KETARA, Haslina Alias serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad.

Rusman.
Dalam pada itu, Rusman memaklumkan bahawa program yang dilaksanakan merupakan salah satu kaedah pengembangan populasi ikan air tawar di negeri itu.

“Ini kali keempat pelepasan benih bagi tahun ini di mana kita biasanya lepaskan di perairan umum seperti tasik, sungai dan di kawasan komuniti.

“Untuk tahun ini, keseluruhannya telah dilepaskan sebanyak 80,000 ekor terdiri daripada spesies Baung, Lampam Sungai dan Udang Galah,” jelasnya.

Menurut beliau, JPNT berusaha mencapai sasaran pelepasan benih sebanyak 250,000 setahun bagi memastikan usaha tersebut mampu memberi impak kepada nelayan darat yang bergantung harap kepada hasil hidupan air tawar untuk menampung kehidupan mereka.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: