Tuesday, 23 June 2020

KPM Pinda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020, Cuti Dikurangkan

SHARE
Foto Oleh : Metro

KUALA TERENGGANU, 23 Jun- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran murid.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pindaan tersebut melibatkan cuti pertengahan penggal dua yang telah dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.

Ia membabitkan sekolah kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kumpulan B melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Selain itu, cuti akhir tahun bagi sekolah dalam kumpulan A telah dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah dalam kumpulan B dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari," ujar kenyataan berkenaan, hari ini.

KPM turut memaklumkan, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah.

Menurutnya, bilangan hari pembelajaran di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah sebanyak 56 hari bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan bilangan hari pembelajaran di rumah dan bagi sekolah dalam negeri kumpulan B pula sebanyak 55 hari.

"Bilangan hari pembelajaran di rumah hanya terpakai kepada murid Tingkatan 5 dan 6 sahaja sementara bagi murid lain
bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak," ujarnya.

Katanya, Takwim Penggal Persekolahan 2020 yang telah dipinda boleh diperoleh
melalui laman sesawang https://www.moe.gov.my/takwim/takwim-
persekolahan-pindaan-2020.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa
sekolah akan dibuka semula esok (24 Jun) melibatkan murid Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: