Friday, 26 June 2020

Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan

SHARE


Rosol dan Hasnol ketika melakukan tinjauan di HDA Poultry.

KUALA NERUS, 26 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan penetapan harga syiling ayam sekiranya para peniaga terus menaikkan harga tanpa kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid menyatakan pihak kementerian kini sedang meneliti makluman daripada pembekal dan peniaga ayam yang dikatakan menyebabkan harga ayam naik sehingga mencapai RM9.60 sekilogram, hari ini.

“Kita bagi jaminan bekalan ayam mencukupi, cuma rungutan oleh rakyat adalah harganya yang naik semakin tinggi. Kalau betul kos naik kerajaan akan cari jalan, tapi kalau tidak betul kita minta pembekal dan peniaga mengkaji balik harga dalam pasaran hari ini.
Rosol Wahid.

“Difahamkan peningkatan harga ini berlaku kerana bekalan ayam berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru- baru ini dan kita jamin bermula awal bulan julai bekalan akan cukup serta harga akan turun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke Haji Din Ayam Poultry Sdn. Bhd. di Batu Rakit, bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa, Dato' Iskandar Halim Sulaiman serta Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Rosol, setakat hari ini harga ayam direkodkan mencapai sehingga RM9.60 di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu terdapat peniaga di Kuala Berang mencatatkan jualan setinggi RM9.50/kg.

“Kita beritahu industri, kalau naik melampau kita akan menetapkan harga dan akan ambil tindakan bagi yang ingkar.
 
Pembeli merungut harga ayam semakin meningkat.
“Sekarang kita bergantung kepada harga semasa, kalau harga terus naik kita akan buat tindakan. Kalau industri mengatakan kos menyebabkan naik harga, kenapa pasaraya-pasaraya boleh jual murah?” katanya.

Tambah beliau, sejak pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam bermula 18 Jun lalu, sebanyak 529 individu terdiri dari peladang, pemborong dan peruncit dikenakan notis Seksyen Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 di seluruh negara dan 31 daripadanya di Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: