Thursday, 18 June 2020

Elakkan Aktiviti Di Kawasan Rekreasi Air Terjun Belukar Bukit

SHARE

Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU, 18 Jun - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi air terutamanya di Air Terjun Belukar Bukit dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, kawasan air terjun tersebut pernah diwartakan sebagai kawasan larangan untuk aktiviti rekreasi berikutan banyak tragedi telah berlaku yang melibatkan kehilangan nyawa.

"Untuk tahun ini sahaja telah terjadi dua tragedi mati lemas di kawasan tersebut. Kejadian pertama pada bulan Mac dan kejadian kedua pada hari ini.

"Keadaan cuaca hujan dan ribut setiap petang di Hulu Terengganu menyebabkan kawasan sungai dan kawasan rekreasi ini airnya agak tinggi dan deras, ia berisiko tinggi kepada pengunjung-pengunjung.

"Oleh kerana itu, orang ramai hendaklah sentiasa peka dengan keselamatan masing-masing dengan menghindari aktiviti rekreasi terutamanya di Belukar Bukit ini dan termasuk di kawasan rekreasi di air yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang selepas berlakunya insiden kejadian lemas di Belukar Bukit.

Tambahnya, keadaan air terjun atau sungai yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai merasa selamat melakukan aktiviti rekreasi kerana ‘kepala air’ boleh berlaku sekiranya hujan di hulu sungai dan puncak bukit.

"Ia dapat dielakkan sekiranya orang ramai mengambil iktibar daripada kes yang banyak dilaporkan di media cetak, elektronik dan sosial," ujarnya lagi.

Terdahulu, mangsa terbaharu, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita@Jamal, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin telah dilaporkan mati lemas di air terjun tersebut tengah hari tadi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: