Tuesday, 30 June 2020

Beri Kelonggaran, Risiko Tanggung Sendiri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Kerajaan negeri memberi kelonggaran dengan mengarahkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap penjaja atau peniaga yang beroperasi dalam tempoh yang akan ditentukan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keadaan ekonomi rakyat yang agak terhimpit ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerajaan memberi kelonggaran sementara.

"Disebabkan kesan PKP, kita ada budi bicara dan untuk sementara ini, kita biar sahajalah rakyat berniaga cari pendapatan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19, tetapi risiko tanggung sendiri, jangan salahkan kerajaan kalau berlaku apa-apa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.

Dr Alias berkata, penjaja dan peniaga yang beroperasi di persimpangan lampu isyarat dan di bahu-bahu jalan perlu menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini.

Katanya, kerajaan kekal dengan pendirian tidak memberi kebenaran kepada penjaja serta peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi-lokasi berkenaan kerana berbahaya kepada pengguna jalan raya dan menyalahi undang-undang jalan raya.

"Kita memang tak benar dan tak bagi lesen untuk penjaja atau peniaga beroperasi di tempat-tempat itu kerana bukan sahaja bahaya kepada peniaga tetapi pengguna jalan raya yang lain," katanya.


Pada masa sama, Dr Alias berkata, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah peniaga di negeri ini yang enggan mengambil lesen perniagaan dan lebih selesa beroperasi secara tidak sah.

"Walaupun kerajaan menyediakan banyak kemudahan seperti lesen perniagaan sementara dan lokasi perniagaan, ada juga yang degil kerana tidak mahu melalui prosedur kesihatan dan sebagainya.

"Sikap ini yang menyebabkan kerajaan sentiasa dalam dilema antara isu keselamatan orang ramai dan kebajikan rakyat," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: