Sunday, 7 June 2020

Bekalan Darah HSNZ Mencukupi

SHARE




Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU, 7 Jun - Bekalan darah di Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), adalah mencukupi buat masa sekarang walaupun berada dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .

Pegawai Perhubungan Awam HSNZ, Suhaimi Yusof berkata bekalan darah di negeri ini  dalam keadaan stabil dan selesa berbanding dengan negeri-negeri lain hasil kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Amal Malaysia (JAM) Terenggganu sejak beberapa bulan yang lepas dalam kempen derma darah.

"Kita mengambil pendekatan 'long term'. Kita kutip pada hari ini, bermakna tarikh luputnya adalah 36 sehingga 42 hari kemudian dan  sentiasa memastikan bekalan darah kita mencukupi kerana kita tidak tahu keadaan pada masa akan datang.

"Derma darah yang pertama kali selepas Hari Raya ini diadakan di Hulu Terengganu. Selepas ini kita akan adakan program yang sama di Daerah Marang, Besut, Setiu dan seterusnya Dungun,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Markaz Tarbiah PAS Kuala Berang (Rumah Hijau), semalam.

Menurut Suhaimi yang juga merupakan Penyelia Tabung Darah Terengganu, pihaknya mendapatkan penderma melalui tiga cara iaitu melalui pendaftaran online, berhubung secara telefon dengan rekod penderma yang lepas dan melalui sebaran Jabatan Amal Malaysia sendiri.

“Keseluruhan program sangat berjaya dan sentiasa mengikut standard operating procedure (SOP) berkenaan dengan COVID-19 melalui saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan Pusat Darah Negara untuk menjalankan kempen derma darah.

“Alhamdulillah hari ini kita berjaya mendapatkan seramai 39 orang penderma. Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Hulu Terengganu kerana sudi bekerjasama dan membantu HSNZ dalam kempen derma darah ini,”ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: