Monday, 29 June 2020

APMM Tahan Dua Bot Nelayan 'Hantu'

SHARE





KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Dua buah bot nelayan 'hantu' berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM)Terengganu di dua lokasi berbeza iaitu pada jarak 100 batu nautika dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu, Sabtu baru-baru ini. 

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot tersebut ditahan oleh kapal Maritim KM LANGKAWI yang sedang melakukan rondaan OP Khas Naga Barat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kedua - dua bot tersebut ditahan berikutan memiliki nombor pendaftaran yang mencurigakan selain nombor pendaftaran juga turut dipadam.

Katanya dalam pemeriksaan yang dilakukan  ke atas kedua-dua bot,  kesemua anak kapal disyaki warganegara Vietnam tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan bot terbabit juga disyaki bot nelayan asing Vietnam.

“Kesemua 27 kru termasuk tekong yang berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan, selain turut dirampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM 2 juta.


“Kedua bot di bawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing telah dikuatkuasakan semula oleh Maritim Malaysia sebagaimana pengumuman yang  dibuat oleh Ketua Pengarah APMM pada 24 Jun lepas di hadapan media tempatan dan antarabangsa dalam satu sidang media membabitkan isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di Putrajaya.

“Tindakan itu diambil berikutan pengusiran sepanjang tempoh PKP tidak memberi kesan kepada nelayan asing.

"Maritim Malaysia Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara. Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," jelas beliau.

Muhammad Suffi meminta kerjasama dari masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: