Thursday, 25 June 2020

Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu

SHARE
Iqbal disapa wakil PKM di rumahnya.

Oleh : Aslam Wira

MARANG, 25 Jun – Dua kanak-kanak yang menghidapi autisme bakal menghuni rumah kediaman yang baharu dan lebih selesa selepas ibunya menerima Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Bukit Gasing.

Ibu ‘anak syurga’ terbabit, Hanipah Jusoh, 41, menyatakan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang mengutamakan keluarganya untuk memiliki rumah berkenaan

Hanipah yang turut mengalami depresi berkata, sejak 10 tahun lalu dia berharap untuk memiliki kediaman sendiri kerana memerlukan ruang yang lebih privasi bagi menguruskan dua anak lelakinya, Iqbal Muhaimin Saharuddin, 14, dan Muhammad Aisy Maashir Saharuddin, 9,.

“Saya sendiri menghidap kemurungan (anxiety disorder) dan dirawat di Hospital Selayang sebelum ini serta masih berada dalam pantauan pakar Psikiatri untuk ubat-ubatan.

Hanipah dan Saharuddin menunjukkan kelulusan mendiami RMM yang diterimanya.

“Ada orang yang nampak biasa tapi kita sebenarnya menderita daripada dalam, tambahan pula anak-anak autisme juga susah untuk dijaga, kerana kadang-kadang mereka sangat agresif,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum ini dia dan keluarga menyewa sebuah rumah namun disebabkan keadaan dua anak lelakinya itu yang tidak sama seperti anak orang lain ia memberi suasana tidak selesa kepada jiran-jiran.

“Malah kami juga tidak selesa dengan tuan rumah apabila mendapat aduan daripada jiran-jiran yang tidak memahami. Walaupun kami cuba memberi kefahaman kepada mereka tentang autisme, tetapi situasi sebenar tidak sama seperti apa yang diharapkan,” ujarnya.

Tambah Hanipah, situasi menjadi lebih rumit apabila suaminya, Saharuddin Danial, 41, dibuang kerja sebanyak hampir 10 kali kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak hingga menyebabkan kewangan terjejas.

“Kadang-kadang berlaku konflik antara keluarga, apabila menumpang di rumah ibu bapa, dengan keadaan anak yang seperti ini, sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa terutamanya apabila adik beradik dan saudara mara pulang menjenguk ibu bapa lebih-lebih lagi ketika cuti perayaan,” jelasnya.

Rumah baharu yang bakal dihuni mereka sekeluarga.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, proses pemilihan kepada mereka yang berkelayakan untuk memohon tiga kekosongan di Taman Bukit Gasing itu adalah melalui jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang dihadiri oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), SUK Perumahan dan wakil Pejabat ADUN Rhu Rendang.

“Kelayakan permohonan mereka ini dikaji melalui siasatan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, dan jabatan-jabatan terbabit, sebelum dihantar kepada PMINT untuk ditemuduga,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: