Monday, 15 June 2020

60 Ibu Tunggal Di Setiu Terima Keperluan Harian

SHARE
Shaharizukirnain.

SETIU, 15 Jun - Seramai 60 ibu tunggal di sekitar parlimen ini telah menerima bantuan berupa hamper barangan keperluan harian.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, bantuan tersebut walaupun tidak seberapa namun sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban golongan ibu tunggal dalam tempoh penularan COVID-19.

“Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada bank Simpanan Nasional (BSN) dan Maxis ini bertujuan membantu ibu tunggal yang layak yang terpaksa menanggung keluarga sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Saya hanya sebagai pemudah cara sahaja bagi mereka,” katanya selepas menyerahkan hamper terakhir kepada seorang ibu tunggal di Kampung Bari Besar.

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, program seperti itu akan terus dilaksanakan dengan komitmen beberapa badan-badan korporat lain dalam masa terdekat.

Program sumbangan ini ialah lanjutan kepada sumbangan daripada pihak FGV kepada peneroka di Kampung Felda Selasih, Felda Chalok dan Felda Rahmat Chalok.

“Sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berupa barang-barang keperluan harian untuk 40 keluarga di setiap Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK) juga telah diagihkan.

“Termasuk sumbangan lauk mentah kepada 27 ribu rumah dalam Parlimen Setiu sepanjang musibah pandemik COVID-19.

“Sumbangan berbuka puasa juga dihulurkan kepada ‘frontliners’ dan pengawal keselamatan di jabatan-jabatan kerajaan dan sekolah,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: