Wednesday, 10 June 2020

144 Usahawan Terengganu Terima Dana Tabung Pemulihan COVID-19

SHARE
Mohd Nurkhuzaini bersama wakil YPU dan wakil usahawan yang hadir.

KUALA TERENGGANU, 10 Jun -  Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan sebanyak RM1.5 juta kepada 144 usahawan bagi membantu perniagaan mereka yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM4 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tujuan itu.

"Selepas wabak COVID-19 melanda, YPU sendiri mengambil inisiatif membantu usahawan kita dengan mewujudkan segmen baharu iaitu Bantuan Pemulihan COVID-19 Terengganu.


Mohd Nurkhuzaini.

"Permohonan yang kita terima lebih, tetapi yang kita luluskan ini yang terawal dan didapati terjejas teruk. Insya-Allah peruntukan ada baki lagi. Cuma, kita terima permohonan diluar jangka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek bagi Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) kepada usahawan di bawah skim berkenaan bagi meningkatkan prestasi Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) dalam negeri.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah timbalannya, Hilmi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Wahab.

Jelas Nurkhuzaini lagi, permohonan yang diterima YPU kini mencecah RM11 juta.

"Kita cuba lihat bagaimana nanti, kalau kerajaan negeri pertimbangkan tambahan, kita akan proses.

"Cuma, kita sarankan usahawan turut mencuba tawaran daripada kerajaan Persekutuan contohnya melalui PERKESO iaitu skim subsidi upah, begitu juga dengan Perbadanan Usahawan Kecil Sederhana (SME CORP) dan yang terbaru MARA dan Perbananan Nasional Berhad (PNB) yang boleh dimanfaatkan," katanya.



Berkenaan skim TUGAS, Mohd Nurkhuzaini menyatakan, keseluruhan dana yang telah dikeluarkan berjumlah hampir RM3 juta yang  mula diproses sejak awal tahun lepas.

Tambahnya, seramai 77 usahawan menerima pembayaran pertama TUGAS bagi tahun 2020 hari ini dengan jumlah dana sebanyak RM815,401.52.

"Sejak dilancarkan pada Januari lalu, kita telah menyediakan dana kira-kira RM28 juta kepada 2,740 usahawan dalam negeri," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: