Friday, 15 May 2020

Terengganu Benar Solat Jumaat Mulai 22 Mei

SHARE
Solat sunat Tarawih dan Aidilfitri di masjid, surau tak dibenarkan.

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid bermula 22 Mei selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran yang diberikan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk hanya diadakan di satu masjid utama dalam setiap daerah seperti masjid Wakaf Tembesu bagi Kuala Nerus.

"Bilangan jemaah pula tidak melebihi 40 orang, termasuk imam dan khatib.

"Pegawai Agama Daerah bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah hendaklah dicatat dengan teliti," ujar beliau dalan satu kenyataan rasmi hari ini.

Mengulas lanjut, katanya khutbah Jumaat hendaklah ditumpukan kepada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit untuk kedua-dua khutbah.

Jelasnya, jemaah yang diizinkan hadir pula hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

"Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas serta yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema tidak dibenarkan hadir.

"Begitu juga mereka yang  mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir.

"Penjarakan sosial 1 meter, memakai penutup mulut dan hidung (face-mask) ketika menunaikan solat, berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri mesti diamalkan," jelas beliau.

Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat.

"Tidak dibenarkan berjabat tangan di masjid  setiap masa sama ada sebelum atau selepas solat.

"Sembahyang sunat adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh berada di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid," katanya.

Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja.

Mengenai solat fardu berjemaah, Baginda turut memberi perkenan untuk diadakan pada tarikh sama di semua masjid tetapi hanya tiga orang sahaja dibenarkan iaitu ahli jawatankuasa dan pegawai masjid secara bergilir-gilir.

"Solat fardu berjemaah bersyarat juga bermula pada 22 Mei, manakala, solat sunat tarawih dan Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid dan surau sama sekali," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: