Thursday, 14 May 2020

Rumah Terbakar, Hanya Sempat Alihkan Motor

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 14 Mei- "Saya cuma sempat alihkan sebuah motor, semua harta benda lain musnah tidak dapat diselamatkan," ujar Mohd Farhan, 25.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Dendang petang semalam, Mohd Farhan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah terbakar dijilat api.

Menurut Mohd Farhan, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah dan tersedar apabila api mula marak.

"Saya panik dan segera keluar rumah menyelamatkan diri, hanya saya seorang yang berada di rumah ketika kejadian kerana ayah pergi ke Dungun.

"Jiran-jiran segera datang dan menghulurkan bantuan, saya ketika itu tidak dapat menghubungi sesiapa pun kerana telefon tertinggal didalam rumah yang terbakar," ujar yang merupakan salah seorang anak kepada pemilik kediaman, Maznon Abdul Rani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di tapak kebakaran, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketika dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, beliau baru keluar dari pejabat.

"Saya segera bergegas ke tempat kejadian dan membuat panggilan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Kita turut adukan perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta tindakan segera pihak kita dengan mewujudkan tabung  bencana kilat," ujarnya.

"Buat sementara waktu ini, mereka sekeluarga ditawarkan untuk tinggal di rumah Timbalan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang, Ibrahim Omar.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Zulhusni Abdul Rahman mengesahkan  mengenai kebakaran yang berlaku.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: