Tuesday, 5 May 2020

PKPB : ‘Syukur, Boleh Bersalin Di Negeri Kelahiran’ – Suri Rumah

SHARE


KEMAMAN, 5 Mei  - Suri rumah, Munah Mubin terharu dan bersyukur dengan keputusan kerajaan yang membenarkan perjalanan merentas negeri dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa semalam. 

Munah, 29, yang menetap di Jaya Gading, Kuantan berkata, dia bukan pulang ke kampung di Kijal di sini bukan untuk bercuti ataupun berhari raya tetapi untuk melahirkan anak ketiganya tanpa kehadiran suami, Sahruddin Yunus, 38, yang kini ‘terkandas’ di Bahau, Negeri Sembilan. 

Munah berkata suaminya berpindah ke Bahau setelah mendapat kerja di sebuah ladang kelapa sawit di sana beberapa minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, manakala dia bersama dua anak perempuan berusia lima dan dua tahun terus berada Jaya Gading.  

“Mahu tak mahu, saya terpaksa berdikari. Bawa dua anak yang masih kecil menaiki teksi ke klinik untuk rutin pemeriksaan bulanan walaupun ditegur jururawat tapi anak saya terlalu kecil untuk ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama, semalam. 

Dia juga berterima kasih kepada anggota polis dan orang awam yang membantu memudahkan urusannya untuk pulang ke kampung halaman. 

Keputusan pulang ke rumah keluarga terpaksa dibuat selepas memikirkan pelbagai risiko.

“Kebimbangan paling besar suami ialah jika saya bersalin awal dengan keadaan anak-anak yang masih kecil. Jika di Kijal, keluarga saya ada untuk menjaga mereka dan menguruskan saya di hospital,” katanya. 

Munah berkata mereka juga masih belum membuat persiapan barangan bayi kerana kesukaran untuk dia ke pasar raya selain berdepan dengan masalah kewangan apabila suaminya tidak bekerja tempoh hari. 

Sehubungan itu, dia mengakui mereka suami isteri amat lega apabila suaminya sudah kembali bekerja membolehkan dirinya mencari barang keperluan bayi yang penting dahulu di Terengganu. 

“Suami gembira betul apabila diberitahu saya dapat surat kebenaran. Saya juga sudah berjanji dengan pemandu teksi untuk menghantar saya dan anak pulang ke Terengganu. Harap semuanya baik-baik dan urusan kelahiran bayi baru kami dimudahkan,” katanya. – BERNAMA.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: