Friday, 8 May 2020

Pasukan 'Taskforce' Pantau Pematuhan PKPB Seluruh Terengganu

SHARE

Foto ihsan - MBKT.

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah menubuhkan pasukan 'taskforce' bagi memantau kepatuhan orang ramai terhadap PKPB di negeri itu bermula semalam.

Pasukan tersebut turut dianggotai pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dan RELA.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, MBKT berkata, 'taskforce' terbabit akan menjalankan rondaan di premis perniagaan, tapak binaan, taman rekreasi awam, pasar awam, pasar borong dan pusat pengangkutan awam.

"Turut diberi tumpuan adalah kawasan pasar raya, rumah ibadat, hotel dan rumah tumpangan.

"Kesemua mereka juga ditugaskan untuk menangani masalah ketidakpatuhan arahan PKPB di kalangan peniaga, pengurus, pengusaha, penjaja serta orang awam," ujar kenyataan tersebut.

Ujar kenyataan itu lagi, pasukan itu akan melakukan rondaan mengikut dua sesi.

"Sesi satu seawal jam 8 pagi hingga 4 petang dan sesi kedua bermula jam 4 petang hingga 12 malam.

"Setiap pasukan yang bertugas akan dianggotai tiga orang polis, dua ATM, tiga MBKT, tiga orang KPDNHEP, dua pihak APM dan dua RELA menjadikan 15 anggota kesemuanya.

"Pihak kami berharap agar orang awam termasuk peniaga, pengusaha, pengurus serta penjaja memberikan kerjasama yang padu dengan mematuhi sepenuhnya arahan PKPB yang ditetapkan," tegas kenyataan itu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: