Sunday, 31 May 2020

MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran

SHARE

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan binatang ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya mulai esok, 1 Jun.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perkara dari segi penguatkuasaan dan peraturan dinilai bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh meragut nyawa.

“Sebelum ini, kita telah maklumkan kepada semua pemilik haiwan bahawa MBKT telah menaikkan kadar tebusan bagi tangkapan haiwan berkeliaran berkuatkuasa 1 Mac lalu.

“Bagaimanapun, notis berkenaan seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kerana masih ada pemilik haiwan yang berdegil dengan membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan.

“Justeru, kita akan buat operasi penguatkuasaan berkala yang lebih tegas selepas ini memandangkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini (pemilik haiwan) memberi kesan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya sehingga terjadinya kemalangan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita.

Menurut beliau, kadar kompaun yang berkuatkuasa dari tarikh berkenaan adalah RM250 seekor untuk haiwan ternakan dari jenis kerbau, lembu, dan kambing/biri-biri, manakala kadar penebusan pula sebanyak RM1,500 seekor untuk kerbau dan RM1,000 untuk lembu sementara RM500 untuk kambing/biri-biri.

Justeru, pihaknya mengharapkan pemilik haiwan ternakan mematuhi garis panduan yang dikeluarkankan oleh MBKT demi keselamatan orang  ramai.









SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: