Wednesday, 27 May 2020

Mangsa Keracunan Puding Buih Meningkat 74 Orang Di Terengganu

SHARE

 Seorang pesakit menunjukkan makanan yang dimakan sewaktu berbuka puasa sebelum mengalami keracunan makanan Jumaat lalu. -Foto: Astro AWANI


KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Mangsa keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas terus meningkat kepada 74 orang daripada 48 orang sejak semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada 74 kes itu yang terdiri daripada 16 keluarga, sejumlah 62 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 12 lagi dari daerah Marang.

Katanya, seramai 33 pesakit telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), lapan dirawat di hospital swasta dan bakinya 22 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Jabatan juga turut mengesan ahli keluarga mangsa yang lain dan berjaya menemui 11 lagi mangsa keracunan makanan cuma simptom yang mereka alami tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.

"Daripada siasatan dilakukan Jabatan Kesihatan Daerah, kita dapati, kemungkinan besar, ataupun punca yang kita syaki, adalah daripada telur yang digunakan dalam puding buih tersebut.

"Bagaimanapun, pengesahan masih belum kita perolehi daripada makmal yang menjalankan ujian terhadap sampel yang kita ambil, sama ada daripada persekitaran tempat premis memasak puding tersebut, mahupun sampel yang kita ambil daripada pesakit yang dirawat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azimi

Terdahulu, seramai 48 individu dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Nor Azimi berkata  pihaknya telah memeriksa premis peniaga terbabit dan pengambilan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu pada Isnin.

Katanya, pihaknya juga telah menutup dapur premis untuk jualan peniaga puding buih tersebut di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula Isnin hingga 7 Jun depan, iaitu selama 14 hari.

Beberapa mangsa keracunan yang ditemui di HSNZ berkata mereka tidak menyangka dimasukkan ke wad pada Aidilfitri kali ini setelah mengalami cirit-birit, muntah dan demam selepas menikmati puding buih tersebut.

"Malam itu, hari Jumaat lepas, saya makan puding itu waktu berbuka puasa. Sedap rasanya. Tetapi kemudian, sakit perut yang amat sangat. Perut memulas, tiga atau empat kali buang air.

"Kemudian, isteri saya ajak ke klinik. Klinik tak terima sebab saya demam, jadi kami ke hospital. Alhamdulillah sekarang ada tenaga sikit, makan pun berselera, apa pun saya anggap ini ujian Allah dan semoga puncanya dapat diketahui secepat mungkin," kata pesara, Abdull Aziz Idris, 63 tahun.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: