Sunday, 17 May 2020

Kotak Rezeki APM-REPSOL Ceriakan 80 Penerima

SHARE


Tuan Che Adam menyerahkan kotak rezeki kepada Sudin Awang di Kampung Bukit Berangan, hari ini

KUALA NERUS, 17 Mei – Kembara Cakna Prihatin Aidlfitri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) - Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (REPSOL) Malaysia 2020 buat kali pertama bergabung tenaga untuk terus  komited dalam memberi bantuan kepada golongan asnaf supaya mereka tidak ketinggalan merasai suasana Aidilfitri seperti orang lain.

Bantuan kotak berisi keperluan asas makanan harian atau kotak rezeki bakal menceriakan  sambutan Aidilfitri  buat 80 keluarga dari golongan kurang berkemampuan dan terjejas punca pendapatan akibat pelaksanaan Pengawalan Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac hingga kini.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kos keseluruhan program, barangan  sumbangan makanan, pengurusan dan logistik, melibatkan peruntukan sebanyak RM30,000 yang merupakan sumbangan daripada pihak REPSOL Malaysia.

Katanya, sebahagian sumbangan ini dari pihak organisasi REPSOL Malaysia dan sebagaimana yang dimaklumkan hanya APM dan Rela sahaja yang diamanahkan untuk menjalankan program agihan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi tertentu.

“Mini konvoi ini hanya melibatkan 10 buah motor sahaja yang akan bergerak bermula hari ini dan kita telah kenalpasti 10 keluarga setiap daerah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  yang melibatkan 80 keluarga selama empat hari di seluruh negeri Terengganu.

“Jadi hari ini daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, diikuti hari seterusnya di Hulu Terengganu dan Marang, Dungun dan Kemaman dan yang terakhir besut dan Setiu melibatkan anggota seramai 40 orang dan bukan secara serentak manakala pihak polis telahpun dimaklumkan tentang program ini,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas gimik pelepasan konvoi di perkarangan Pejabat APM di Gong Badak, hari ini.



Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan, Che Adam berkata beliau  berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kelima dan juga dengan ketibaan satu Syawal tidak lama lagi.

”Ini merupakan minggu  yang terakhir bulan Ramadan  dan akan sambut Aidilfitri minggu depan jadi kita mengharapkan sumbangan ini dapat menceriakan  suasana kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk  menyambut Aidilfitri nanti.

“Disamping bahan masak, barang mentah dapur dan sedikit kuih raya, kita sediakan facemask dan hand sanitizer untuk mereka ikuti langkah-langkah  yang telah disarankan oleh pihak kerajaan,”ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penerima di Kampung Pengkalan Berangan, Tepuh, Sudin Awang, 80, begitu teruja apabila menerima kotak rezeki yang disifatkan mampu meringankan beban yang ditanggung terutama waktu sukar berhadapan dengan PKPB.

“ Alhamdulillah syukur atas rezeki ini yang tidak pernah putus kepada pak cik sekeluarga.Insha Allah dapatlah sambut raya dengan lebih meriah walaupun sehari je kerajaan bagi demi menjaga keselamatan orang ramai,”katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: