Sunday, 31 May 2020

Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka

SHARE
Dr Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi menangani isu berkait kebersihan dan keselamatan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil susulan kejadian keracunan puding buih yang melibatkan 99 individu baru-baru ini.

Katanya, keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati penggunaan telur tamat tempoh adalah punca utama kes tersebut berlaku.

“Kita akan kuatkuasakan dari segi perlesenan, suntikan dan sebagainya kepada semua peniaga di rumah atau ‘online’ yang tidak berlesen,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya Ahmad Shah Muhamed.

Mengulas tentang insiden itu, beliau memaklumkan semua mangsa berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“JKNT sudah menutup dapur premis terbabit selama 14 hari sehingga 7 Jun depan.

“Tindakan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Isnin lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: