Wednesday, 6 May 2020

Kelonggaran PKP Peluang Rakyat Lunas Kewajipan

SHARE
Muhammad Khalil.


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Keputusan kerajaan Persekutuan memberikan kelonggaran kepada rakyat untuk keluar setelah melalui 46 hari Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) membuka peluang kepada rakyat untuk menjalankan kewajipan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di media sosialnya, semalam menyatakan bahawa menunaikan tanggungjawab mencari rezeki buat keluarga khususnya mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap adalah wajib.

"Adapun solat di masjid itu adalah fardhu kifayah atau sunnah muakkadah (mengikut khilaf ulama’), maka perkara wajib perlu didahulukan," tulisnya.

Jelasnya, kenyataan ini bagi menjawab pertikaian sesetengah pihak yang mempersoalkan mengapa kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk keluar sedangkan masjid tidak dibenarkan lagi untuk dibuka kepada umum.

Beliau turut berkongsikan kisah Imam Hassan Al-Banna yang menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid tanpa azan setelah melihat dua ‘muazzin’ berkelahi untuk melaungkan azan bagi mengutamakan perkara wajib iaitu menyatukan orang Islam (solat berjemaah) berbanding perkara sunat iaitu azan.

“Bagaimanapun, kelonggaran tersebut hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dihentikan demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Muhammad Khalil turut berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama yang baik dalam mengikuti segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan agar penularan wabak ini dapat dibendung.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: