Monday, 4 May 2020

Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis

SHARE
Roslee Chik.


KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak ketika keluar untuk membeli barang keperluan harian termasuk juadah berbuka puasa.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi secara rawak, pihaknya berjaya mengesan sebahagian penjaga yang mengambil sikap sambil lewa dalam hal itu semasa bulan Ramadan ini.

Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang mudah dan masih berjalan walaupun dilonggarkan bersyarat.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka yang membawa dua atau tiga anak menaiki motosikal untuk tidak melakukan sedemikian.

“Kita masih dalam PKP, jadi kena patuh dengan peraturan-peraturan serta SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau lagi, setakat ini pihaknya masih melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri walaupun jumlah anggota telah dikurangkan semasa operasi itu.

Jelasnya, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutus rantaian COVID-19.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: