Thursday, 28 May 2020

Amzad Sokong Pindaan Hukuman Lebih Tegas Buat Pemandu Mabuk

SHARE

Oleh: Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim bersetuju, jika Kerajaan Persekutuan sedia mengkaji serta membuat pindaan peraturan dan undang-undang lebih tegas kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah pengaruh alkohol.

Ini kerana, katanya kesalahan terbabit boleh membahayakan nyawa orang lain.

Menurutnya, kawalan terhadap peraturan penjualan arak juga perlu diperketatkan bagi mengawal kehidupan rakyat yang lebih baik dan sihat.

“Kerajaan seharusnya mengkaji tentang pindaan-pindaan yang perlu bagi membolehkan peraturan lebih tegas dibuat berhubung dengan perkara (arak) ini, juga hukuman yang lebih tegas selain kawalan penjualan arak perlu diperketatkan.

“Isu ini universal sebenarnya. Apa-apa pindaan peraturan dan undang-undang (digubal) bagi memastikan supaya mereka yang berada di bawah pengaruh arak ini tidak berada di dalam masyarakat dan di tengah orang ramai,” ujarnya ketika dihubungi mengenai isu ‘Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol’ di kediamannya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini.

Amzad mendakwa, ketika tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan 18 Mac lalu, operasi kilang dan premis penjualan arak dihentikan sementara tiada masalah.

Malah, katanya kadar kemalangan kerana mabuk dalam tempoh PKP itu juga tidak berlaku dan ini memberi kesan yang baik kepada negara.

“Masalah yang sama turut berlaku di peringkat antarabangsa sebenarnya, tak semestinya negara Islam. Di negara-negara bukan Islam pun sedang mengkaji segala cara bagi membolehkan kawalan terhadap penggunaan alkohol diperketatkan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan, dari segi sains peringkat MOSTI turut sependapat dengan saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyenaraikan arak sebagai perkara yang memudaratkan manusia.

“Penggunaan arak ini sepatutnya dalam premis tertutup atau di rumah masing-masing sahaja. Apa-apa cara perlu dilaksanakan yang boleh menghalang daripada mereka yang di bawah pengaruh memandu atau berada di tempat awam.

“Alkohol atau arak yang menjadi sebahagian daripada minuman yang memabukkan itu cukup terbukti membahayakan serta boleh menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: