Saturday, 16 May 2020

325 Terima Sumbangan KETENGAH Sempena Ramadan Di DUN Ajil

SHARE

Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 16 Mei - Bertemakan  Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah Sempena Bulan Ramadan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) meraikan 325 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil.

ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim
berkata inisiatif sumbangan yang dihulurkan KETENGAH dapat meringankan beban kepada mereka yang terlibat lebih-lebih lagi menjelang hari raya yang berbaki lapan hari sahaja lagi.

"Penerima pula dapat memanfaatkan sumbangan yang diterima bagi membeli keperluan hari raya.

"Saya juga berterima kasih kepada KETENGAH kerana aktiviti sumbangan ini bagaikan satu tradisi yang mana dijalankan sejak dahulu lagi menfokuskan sumbangan kepada fakir miskin,anak yatim dan golongan kurang upaya,"ujarnya ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di Kampung Lubuk Batu dan Kampung Peroh, Ajil semalam.

Turut hadir Pengurus Pembangunan Masyarakat & Sosial Ketengah, Che Zamri Che Lah ,

KETENGAH memperuntukkan RM700,000  bagi 3,500 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu untuk Aidilfitri tahun ini.

Sementara itu, penerima asnaf  Mat Jusoh Deraman, 75, terharu serta bersyukur menerima sumbangan Aidilfitri dan  bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur sempena Ramadan.

Bantuan itu juga katanya dapat digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri.

Fauzi Ngah, 56, yang juga penerima terpilih berkata tidak ada apa yang mampu diluahkannya selain rasa syukur kepada Allah atas keprihatinan KETENGAH yang memberi bantuan.

Dalam nada gembira, Fauzi mengucapkan terima kasih kepada Adun Ajil kerana prihatin dan sudi mengunjunginya untuk menyampaikan sumbangan, sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggungnya.

 “Alhamdulilah, saya terharu kerana dipilih menerima sumbangan ini. Pemberian wang tunai ini akan digunakan sebaiknya kerana tiada punca pendapatan.” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: