Tuesday, 19 May 2020

189 Anak Yatim Ceria Menjelang Aidilfitri

SHARE
Mohd Shafizi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga anak yatim.

Oleh : Izzat Al Qushairi

SETIU, 19 Mei - Seramai 189 anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di sini ceria selepas menerima sumbangan berbentuk barangan harian, kuih raya dan wang tunai semalam.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib dan kesukaran yang dihadapi golongan anak yatim.

"Jadi, bantuan berjumlah RM19,700 yang disumbang orang ramai dan juga dana Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit ini diharap mampu meringankan beban golongan anak yatim khususnya menjelang Syawal.

"Pelaksanaan program pada tahun ini dibuat agak berbeza dengan tahun sebelum ini yang dilaksanakan secara jamuan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Namun kita juga sedang berusaha untuk terus menyantuni mereka dari satu rumah ke satu rumah semua anak yatim di sini," katanya kepada pemberita.


Sementara itu, Pengerusi Batu Rakit Care, Mohd Pauzi yang hadir sama berkata bilangan anak yatim pada tahun ini meningkat dua kali ganda dari tahun sebelumnya.

"Sudah tentu tanggungjawab kita untuk membantu juga perlu dilipatganda dan ditambah baik setiap masa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan kepada anak yatim ini khususnya kepada Mohd Shafizi yang bukan sahaja menyumbang duit malah turut bersama turun padang memberikan sumbangan kepada anak yatim ini," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: