Sunday, 26 April 2020

Yayasan Terengganu Sumbang 65,000 Bantu Pelajar Di Mesir

SHARE



Urusetia pelajar menyampaikan sumbang kerajaan negeri kepada salah seorang pelajar. Foto: FB Keluarga-keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT).

KUALA TERENGGANU, 26 April- Yayasan Terengganu memaklumkan, sebanyak RM65,000 telah disumbangkan pihaknya sebagai bantuan kecemasan untuk para pelajar Terengganu di Mesir yang terjejas dalam menyediakan persiapan Ramadan susulan pandemik Covid-19.

Jumlah itu merupakan sebahagian bantuan kerajaan negeri yang turut disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM), badan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada kira-kira 500 pelajar yang berdepan perintah berkurung di negara berkenaan.
Sumbangan berupa barangan keperluan bantu pelajar hadapi perintah berkurung.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Keluarga-keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT) semalam, persatuan itu merakamkan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana membantu anak-anak negeri dengan  menyampaikan sumbangan kebajikan berupa barangan keperluan dan makanan.

Persatuan tersebut memaklumkan segala sumbangan telah disampaikan dengan kerjasama Pegawai Atase Pendidikan Terengganu Mesir, Shahrudin Zainal.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban anak-anak Terengganu bagi menjalani ibadah puasa serta situasi penularan wabak yang melanda ketika ini.

"Semoga ibadah puasa pada bulan Ramadan pada tahun ini menguatkan ketabahan hati dan mendapat ganjaran disisi Allah SWT," tulis sumber itu.

Berdasarkan maklumat YT, seramai 103 pelajar di bawah tajaan yayasan itu yang belajar di luar negara juga telah menerima semua Elaun Sara Hidup (ESH) sehingga Mei 2020, pada Februari lalu.

Dianggarkan, terdapat sekitar 1,000 ke 1,200 orang pelajar Terengganu di luar negara.

Manakala, daripada 43,000 pelajar Terengganu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, terdapat kira-kira 1,150 pelajar masih terkandas di kampus masing-masing.

Bagaimanapun, dilaporkan semua berada dalam keadaan baik di asrama atau kediaman sewaan masing-masing dengan pemantauan serta bantuan makanan dan minuman dari pihak IPT .




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: