Wednesday, 15 April 2020

TADC Bantu Pasarkan Ikan Spesies Bernilai Tinggi

SHARE
Dr Azman.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 15 April – Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) membantu
memasarkan ikan sangkar spesies bernilai tinggi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, TADC bertindak mengambil langkah itu dengan memasarkan hasil-hasil ikan di beberapa outlet yang terpilih di daerah Dungun dan Kuala Terengganu.

Katanya, ia berikutan PKP yang dikuatkuasakan kerajaan menjejaskan jualan dan kewangan penternak ikan tersebut.

"Dalam konteks negeri ini, ikan sangkar seperti siakap dan kerapu hybrid saya istilahkan sebagai spesies bernilai tinggi. Ruang pasaran mereka sebelum ini adalah restoran dan perhotelan.

"Namun dalam tempoh PKP ini, operasi restoran dan perhotelan terhenti menyebabkan ikan tidak terjual.

"Jadi kita cuba mencari ruang secara berperingkat malah kerajaan negeri membantu dengan sekadar yang mampu dari segi pemberian makanan ikan," katanya ketika ditemui media di Kampung Alor Tok Kabar, semalam.

Tambahnya, walaupun tiada insentif khusus untuk penternak, beliau akan berusaha mencari bantuan kewangan dan lain-lain bagi membantu meringankan beban.

"Insya-Allah dalam sedikit masa lagi apabila ruang di pasaran lebih terbuka saya meletakkan keyakinan, sedikit demi sedikit daripada ikan-ikan yang ada di sangkar ini boleh dijual.

"Mungkin dengan harga yang lebih rendah daripada sebelum PKP ini. Tapi sekurang-kurangnya kita tidak rugi walaupun tidak untung besar," jelasnya.

Sementara itu, nelayan yang terlibat penangkapan ikan spesies gred A seperti kerapu, ikan merah atau kerapu pisang turut berdepan dengan sedikit masalah dari segi pasaran.

"Namun, ikan yang menjadi keperluan harian rakyat awam kategori gred biasa seperti kembung, selar atau selayang tidak menjadi masalah," tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: