Friday, 10 April 2020

COVID-19: Seluruh Pasar Utama Terengganu Selesai Dinyah Cemar

SHARE
Operasi yang dijalankan pagi tadi.

KUALA TERENGGANU, 10 April - Kerajaan negeri telah melakukan operasi nyah cemar di seluruh pasar yang menjadi tumpuan orang ramai di Terengganu hari ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, operasi di 42 pasar terkemuka itu melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

"Kita memilih pasar kerana ia merupakan kawasan tumpuan orang ramai yang kita yakin virus tersebut mudah merebak di tempat ini.

"Operasi seperti ini kita akan jalankan bergantung kepada situasi semasa wabak tersebut termasuk kejadian kes di Terengganu," katanya ketika ditemui media selepas operasi disinfeksi di Pasar Borong Gong Pauh, di sini hari ini.

Turut menyertai operasi itu adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, serta Pengarah Jabatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Anggota bomba yang bertugas di barisan hadapan.

Sementara itu, mengulas operasi di daerah Kemaman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim ketika dihubungi berkata, proses nyah cemar telah bermula sejak 16 Mac lalu yang diadakan secara berkala.

"Ia melibatkan lokasi-lokasi seperti pasar awam, tandas awam, taman rekreasi awam, perhentian bas, rumah ibadat dan premis makanan dan bukan makanan milik MPK.

"Hari ini kita buat secara bersepadu di setiap daerah, bagi menyekat penularan wabak pandemik itu.

"Kerja-kerja nyah cemar ini juga sedang diperluaskan kepada 191 buah rumah ibadat di Daerah Kemaman," jelasnya.

Menurut Jusman lagi, pihak Majlis juga mendapat tajaan bahan serta peralatan nyah cemar daripada Syarikat Malay Sino Chemical Industries dan Joo Hin Hardware & Machinery.
Proses nyah cemar di Kemaman.
"Selain itu, Syarikat Encompass Industrial juga turut menyumbang peralatan PPE iaitu sarung tangan bagi kegunaan anggota semasa menjalankan kerja-kerja nyah cemar," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: