Thursday, 9 April 2020

Penternak Ikan Sangkar Luah ‘Rasa Nak Mati’

SHARE


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 9 April – Penternak ikan sangkar meluahkan ‘rasa nak mati’ akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia ekoran perniagaan yang diusahakan mengalami kemerosotan jualan sehingga menjejaskan kewangan mereka.

Jelasnya, kerajaan tidak mampu membeli hasil pertanian dan ternakan untuk diagihkan kepada rakyat kerana ruang-ruang pasaran sangat sempit dan terhad.

"Semua sektor terjejas teruk, termasuk sektor penternakan akuakultur ikan dalam sangkar. 

"Sejak PKP, jumlah ikan siakap dan kerapu hibrid yang berjaya dijual hampir tiada kerana restoran dan hotel tidak beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Ikan kepada penternak Daerah Setiu, di Kuala Setiu, Permaisuri.

Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masalah tersebut tidak akan dibiarkan begitu sahaja sebaliknya sumbangan makanan ikan untuk pemilik sangkar ikan di Kuala Setiu sentiasa disalurkan.

"Dengan usaha yang ada juga, kita ikhtiar untuk bantu cari pasaran. Ada hasil yang boleh jalan dan ada hasil terkandas," ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, langkah pemprosesan pembekuan seperti daging burung puyuh dan arnab perlu dijalankan bagi menghalang peningkatan kos penternakan.

"Saya sudah minta Pengarah Pertanian Negeri untuk tunjukkan kaedah membuat lada kering kepada petani yang tak dapat pasarkan lada. 

"Ruang sejuk di negeri kita terhad untuk semua hasil disimpan dalam bentuk sejuk beku," jelas beliau.


Tambahnya, Pengarah Pertanian Terengganu juga telah menghubungi sendiri beberapa pasaraya di Terengganu untuk menawarkan hasil pertanian keluaran tempatan dipasarkan di premis mereka.

"Di samping itu, kita juga berhubung dengan rakan-rakan di negeri-negeri lain bagi mencari ruang pasaran. Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) juga membuka 37 outlet pemasaran hasil pertanian seluruh negeri sebagai tambahan," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: