Monday, 13 April 2020

Penghuni Madrasah Quran Terharu Layanan Petugas Kesihatan

SHARE
Madrasatul Quran Kubang Bujuk.

KUALA TERENGGANU, 13 April - Penghuni serta kakitangan Madrasatul Quran Kubang Bujuk di sini terharu dengan layanan yang diberikan petugas kesihatan kepada mereka semasa dirawat sebagai pesakit COVID-19 baru-baru ini.

Guru madrasah tersebut, Ustaz Hasbullah Yusof berkata, semua petugas telah bersusah payah merawat dan memeriksa seramai 349 orang yang disyaki positif pandemik berkenaan.

"Setiap hari mulai 14 Mac hingga 4 April petugas telah memberikan perkhidmatan yang begitu cemerlang dengan memeriksa seramai 231 pelajar, 116 kakitangan dan dua orang awam.

"Bermula di kuarters empat tingkat, kemudian bergerak dari rumah ke rumah dengan pakaian yang begitu panas pada waktu yang panas, sangat besar pengorbanan mereka kepada kami," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan negeri kerana membantu penghuni madrasah itu pulih dan bebas COVID-19.

"Terima kasih kepada semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi Terengganu yang begitu mengambil berat tentang kami.

"Juga untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang bersusah payah menghantar kami pulang ke kampung," tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: