Wednesday, 29 April 2020

Mesir Lanjut Darurat, Pelajar Terengganu Tidak Terjejas

SHARE

KUALA TERENGGANU, 29 April - Lebih 500 pelajar Terengganu di Mesir dijangka tidak berdepan masalah dengan lanjutan tempoh darurat selama tiga bulan yang dibuat Abdel Fattah al-Sisi baru-baru ini.

Yang Dipertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu di Mesir, Muhammad Nur Adli Najmuddin Mukhtar berkata, tindakan  Presiden Mesir bagi menangani wabak COVID-19 itu tidak memberi impak yang buruk kepada mereka kerana keadaan di sana masih terkawal.

"Sebenarnya Mesir sentiasa dalam darurat sejak zaman presiden Hosni Mubarak, selepas Mubarak jatuh dan Dr Mohamed Morsi menjadi presiden, undang-undang tersebut dibuang.

"Namun, selepas al-Sisi ambik alih,
dia mulakan balik kanun darurat tersebut setiap tiga bulan bagi mengekang pengganas dengan sekatan yang tinggi dan kini digunakan ketika COVID-19 menular," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Adli mengatakan
darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perintah berkurung COVID-19 kekal pada pukul 9.00 malam hingga 6.00 pagi.

"Alhamdulillah, kesemua kami juga tiada yang positif wabak berkenaan sehingga hari ini," ujarnya.

Beberapa hari lalu dalam dekri presiden, al-Sisi berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan berbahaya.

Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang dan jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: