Monday, 27 April 2020

Pemotongan Royalti Minyak Terengganu Dikurangkan

SHARE
Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 27 April - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengurangkan pemotongan 25 peratus kepada lima peratus  daripada royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) yang diterima Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini potongan 25 peratus dibuat terhadap bayaran royalti minyak itu bagi tujuan pembayaran hutang kerajaan negeri.

"Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang negeri Terengganu.

"Iaitu daripada 25 peratus kepada lima peratus pada tahun 2020 daripada bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Pada 16 April lalu, Ahmad Samsuri dalam bual bicara di Bernama TV memaklumkan, pihaknya telah membuat permohonan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri menerusi WTP.

"Ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik COVID-19," ujarnya.

Tambah beliau, sejak Mei 2018 kerajaan negeri yang menerima lima peratus WTP dari kerajaan Persekutuan sudah membayar hutang berjumlah kira-kira RM400 juta, melalui pemotongan WTP yang diterima dua kali setahun.

Terengganu dijangka akan menerima bayaran pertama royalti minyak sebanyak RM700 juta iaitu kiraan kasar sebelum pemotongan hutang sebanyak 25 peratus.

Bayaran tersebut dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir tahun.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: