Tuesday, 21 April 2020

Jaminan Tiada Pilih Kasih Beri Bantuan - Haji Fazil

SHARE

Oleh: Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 21 April - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab memberi kepercayaan dan jaminan bahawa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan tersebut tidak pilih kasih.

Bantuan dibahagikan kepada mereka yang benar-benar layak dan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

"Kami tak pilih kasih dan prihatin kepada semua yang layak menerima bantuan tersebut.


"Ia bukan melibatkan warna parti, tapi ia melibatkan sifat kemanusiaan yang perlu kita dahului," ujarnya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, MPKK merupakan sebuah agensi kerajaan yang paling hampir dengan masyarakat atau rakyat dan semestinya berperanan sepenuhnya dalam mengenal pasti siapa di antara mereka yang sepatutnya layak menerima bantuan.

"MPKK akan kenal pasti siapa yang tidak dapat bekerja dan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP ini.

"Ia kerana MPKK kenal ahli kariah masing-masing kerana dekat dengan mereka," katanya.

Setakat ini sebanyak hampir 2,500 bantuan berbentuk barangan dapur seperti minyak masak, tepung, gula dan sebagainya diagihkan kepada masyarakat di Seberang Takir.

Di samping itu, bantuan turut diterima daripada Ahli Parlimen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Imam Care, masjid sekitar Seberang Takir dan orang persendirian.

Bantuan seperti lampin pakai buang dan susu bayi turut diberi kepada mereka yang mempunyai anak kecil.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: