Thursday, 23 April 2020

Insya-Allah, Bekalan Daging Untuk Ramadan Mencukupi- Dr. Azman

SHARE
Dr. Azman memasang label pada daing yang selesai dilapah.

KUALA TERENGGANU, 23 April- Kerajaan negeri menjangkakan bekalan daging bagi bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, tinjauan di beberapa kawasan penternakan dalam negeri memperlihatkan adanya sistem trading iaitu lembu-lembu yang diambil daripada Thailand sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan digemukkan di Terengganu untuk mencukupkan bekalan daging.

“Saya dimaklumkan lembu-lembu yang dipelihara di ladang-ladang sawit milik TDM juga mencecah lebih 10,000 ekor, insya-Allah bekalan akan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyembelihan seekor lembu Sado di Kompleks Abtoir Kuala Terengganu milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Gong Badak, hari ini.
Dr. Azman.
Daging lembu Sado baka charolais seberat 800 kilogram itu dijual dengan harga RM25 sekilogram iaitu di bawah harga pasaran.

Usaha itu dilakukan oleh Persatuan Pernternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT) sebagai langkah memperkenalkan jenama daging lembu sado kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, sempena Ramadan dan hari raya, pihaknya telah memberi kemudahan untuk lembu-lembu dari luar dibawa masuk ke Terengganu dan sebaliknya.

“Sebelum ini, kami menetapkan had penternak boleh menjual lembu dalam radius 50 kilometer sahaja sebagai langkah membantu barisan hadapan kita, tetapi kini kami melonggarkan had yang ditetapkan.
Dr. Termizi.

“Ini berikutan, sejak PKP ini, berlaku peningkatan permintaan daging segar dan diakui oleh pekerja rumah sembelih dan abtoir, sebelum ini penyembelihan banyak hanya ketika hujung minggu tetapi setiap hari kita menyembelih sekitar lima ke enam ekor sehari,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: