Wednesday, 22 April 2020

Gandingan Dua Ulama Nusantara Sempena Ramadan

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 21 April- Kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dengan kerjasama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) akan mengandingkan dua ulama nusantara, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Abdul Somad dalam rancangan bual bicara sempena Ramadan pada 29 April ini.

Gandingan mantap dua tokoh berkenaan dapat diikuti melalui Facebook rasmi UPDI dan juga TV Darul Iman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program tersebut diadakan bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan perkara yang membawa manfaat kepada masyarakat khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia juga untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kecanggihan teknologi telefon pintar mereka dalam mendalami Ilmu agama.

"Kita berpeluang mendengar nasihat dan sebagainya dari dua tokoh ulama ini dimana waktu siarannya akan bermula jam 5.45 petang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika tampil bersiaran di TV Darul Iman, Wawancara Khas 'Ihya Ramadan Di Musim PKP COVID-19, semalam.

Mohd Nor Hamzah.
Menurut beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama UPDI, DUAT dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan turut mengadakan program seumpama itu dengan menampilkan tokoh-tokoh yang lain dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini.

"Tokoh pilihan atau pemimpin kerajaan bukan sekadar bersiaran, tetapi turut memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk bertanya secara langsung.

"Kita buat siaran langsung bersama pimpinan, kemudian mereka (rakyat) boleh bertanya soalan yang mereka hendak tanya," ujarnya.

Selain itu katanya, DUAT akan menyusun aktiviti bacaan kitab suci al-Quran secara harian melalui aplikasi 'whatsapp'.

"Ia bagi memperingatkan rakyat agar mengamalkan bacaan kitab suci.

"Selain turut menyediakan tazkirah secara atas talian pada setiap hari sama ada selepas subuh ataupun selepas zohor sepanjang Ramadan ini," tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: