Wednesday, 15 April 2020

Gagal Patuhi Jadual Penanaman, Petani Berdepan Masalah

SHARE


Dr Azman menunjukkan kawasan tanah yang kering.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 15 April - Kegagalan mematuhi jadual penanaman padi bakal mengundang pelbagai masalah kepada petani sama ada dalam proses pembesaran mahupun penuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kesedaran terhadap jadual amat penting bagi memastikan tidak berlaku kerugian kepada mana-mana pihak.

Jelasnya, masalah kekeringan air dihadapi oleh sesetengah petani di perairan sawah Kerandang timbul bukan kerana ketiadaan air di empangan tetapi disebabkan penjadualan penanaman tidak serentak.

"Kawasan sawah mula kering dan ada kawasan tanah yang sudah merekah. Dalam tempoh begini memang padi memerlukan air. Tanpa air, padi tak ‘masuk isi’ dan hasilnya tidak dapat dituai.

"Bekalan air adalah daripada Empangan Jajar, Besut yang mengairi sekitar 5,000 hektar tanah sawah kawasan IADA KETARA. 

"Sistem pengairan akan ditutup disebabkan ada kawasan ini padi mula dituai," beliau berkata demikian selepas meninjau sawah padi Kampung Kerandang, Jabi, semalam.

Sistem pengairan sawah padi.

Menurutnya, terdapat sebahagian daripada sawah dalam kawasan IADA KETARA seperti di kawasan Pohon Tal, Apal telah mula dituai.

Namun, masih ada lagi yang berumur dalam lingkungan dua bulan dan masih memerlukan masa sekitar sebulan lagi untuk dijual.

"Secara mudahnya kawasan ini terlewat tabur. Sistem pengairan dalam kawasan padi IADA KETARA diuruskan secara berpusat. Kalau buka, semua dapat air. Tutup maknanya semua kering.

"Kita tak boleh buka semula bekalan air kerana ia akan menganggu kerja menuai di kawasan lain. Jadi, kita perlu guna pam khas untuk pam air sungai ke kawasan yang perlukan air. Ia memerlukan kos tambahan.


Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, penambaikan serta disiplin para petani perlu ditingkatkan di masa depan bagi mengelakkan masalah ini berulang.


"Saya dah maklum kepada Pengarah IADA KETARA. Musim depan, sebelum mula musim baru, saya nak jumpa sendiri semua Ketua Tani dalam IADA KETARA.

"Semua mesti patuh kepada jadual penanaman. Yang ketinggalan tanpa alasan kukuh, saya tak berkompromi kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak," tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: